Saturday, October 8, 2011

Bajet umpan piliharaya.

Pembentangan bajet 2012 oleh PM Najib semalam sebenarnya tidak menampakan sebarang kejutan dan keajaiban kerana semua yang dinyatakan telah dijangka dan dalam pengetahuan umum.

Semua tidak boleh menafikan bahawa bajet 2012 yang dikeluarkan PM Najib semalam adalah petanda awal bahawa PRU 13 akan menjelang sebelum pembentangan bajet 2013 akan datang.

Seperti biasa setiap kali pembentangan bajet, penjawat awam adalah kumpulan sasar yang terus diberi perhatian. Ini mungkin kerana kerajaan yang memrintah menganggap kumpulan ini adalah agen penting dan penyokong kuat kerajaan yang menjulang bendera party kerajaan yang memerintah. Bajet kali ini sekali lagi penjawat awam mendapat durian runtuh melalui nikmat bonus tambahan, pelarasan gaji baru dan kenaikan gaji tahunan yang lebih tinggi serta tambahan umur persaraan kepada 60 tahun.

Pemberian RM500 kepada rakyat yang berpendapatan bawah RM3000 adalah satu kaedah pemberian terus wang kepada rakyat dimana di zaman Pak lah dulu juga  pernah semua pemilik kereta diberi peruntukkan ini untuk menampung kos kenaikan harga minyak.

Pemberian ini sebenarnya tidaklah dikisahkan sangat oleh rakyat bawahan kerana mereka sebenarnya menaruh harapan yang lebih besar lagi agar kerajaan dapat membantu mereka dengan kaedah yang lebih berbentuk jangkapanjang serta dapat membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan sejahtera.

Rakyat sangat-sangat berharap agar yuran pengajian IPT dan IPTS dilihat semula agar tidak membebankan   pelajar dengan jumlah pinjaman yang banyak dengan PTPTN. Rakyat juga bukan setakat mahu  kerajaan membatal charge rawatan pemeriksaan warga emas sebanyak RM1 di hospital malah rakyat mahu kerajaan juga menanggung dengan percuma akan segala kos rawatan perubatan rakyat di hospital kerajaan.

Sungguhpun semua akhbar melaporkan dimuka depan bahawa bajet tahun ini adalah Bajet Untuk Semua, namun terdapat lagi ruang-ruang yang boleh dilakukan oleh kerajaan demi membantu rakyat berpendapatan rendah menikmati kehidupan yang sejahtera dan selesa di bumi Malaysia yang makmur ini.

Walau apa pun komen kita, semuanya telah terbentang dan kita hanya boleh berharap apa yang tertulis dan ternyata tersebut hendaklah dilaksanakan dengan baik dan sesempurnanya bagi mencapai maksud yang disasarkan.

Rebutlah 232.8 bilion yang akan dihamburkan sepanjang 2012 nanti. Ianya bagai daun-daun kering yang melayang jatuh dari langit kebumi ini. Siapa yang cepat dan cekap akan memperolehinya dengan cara masing-masing. Ada yang dapat banyak dan akan ada yang dapat sedikit, akan ada orang yang senang memperolehinya dan akan ada juga yang tidak memperolehinya langsung. Semuanya ini adalah ketentuan Allah swt dan merupakan rezeki yang telah ditentukan.




No comments:

Post a Comment